Friday 23 June 2017

Pakaian Lotud Adalah Pakaian Ketuhanan.

Pakaian Lotud adalah pakaian Ketuhanan.

Sama seperti pakaian Dusunic yang lainnya, pakaian Lotud juga sering dikaitkan dengan konsep ketuhanan dan religious-spiritual. Dalam kepercayaan masyarakat Dusun Lotud, mereka mempercayai tuhan yang dalam dialek mereka disebut Kinohoringan yang memiliki isteri bernama Umunsumundu. Ada satu artikel mengenai pakaian Lotud, di mana disbutkan pakaian lelaki Lotud dipanggil "Kinohoringan" dan pakaian wanita Lotud pula dipanggil "Umunsumundu" (Humin Jusilin & Salbiah binti Kindoyop 2015:40), iaitu sempena nama tuhan nenek moyang mereka pada zamn dahulu. Bagi masyarakat biasa mereka tidak pernah melihat bagaimana pakaian Kinohoringan dan Umunsumundu, tapi bagi para pemimpin spiritual Lotud (Tantagas), mereka mampu menerangkan cara-cara berpakaian tuhan (Kinohoringan dan Umunsumundu). Dalam satu rinait para Tantagas Lotud yg dipanggil "rinait molukas," satu rinait puji-pujian untuk Kinohoringan dan Umunsumundu yang ketika itu berpindah ke rumah baru yang disebut “molukas;" dalam rinait ini ada diterangkan mengenai cara berpakaian Kinohoringan dan Umunsumundu ayat per ayat. Kononya, pakaian tradisi Lotud yang asli itu berilhamkan apa yang diterangkan mengenai pakaian ketuhanan seperti yang diterangkan dalam bait-bait rinait tersebut.

Pakaian Lotud sendiri dibahagi kepada tiga jenis, iaitu pakaian Momolian (untuk ritual), pakaian khas untuk menari tarian “Sumayau,”dan pakaian pengantin. Secara dasarnya, ketiga-tiga pakaian ini hampir mirip, yang membezakannya adalah hiasan pada “sukob” dan beberapa aksesori. Misalnya, “sukob” untuk Momolian tidak memiliki motif manik seperti yang terdapat dalam pakaian untuk “sumayau.” Bagi para tokoh-tokoh adat Lotud pula, mereka selalunya lebih gemar memakai "binandus (seluar panjang)" daripada memakai versi pakaian “mugah.” Mugah adalah kain sarung tenunan yang selalunya dihasilkan oleh kaum Bajau dan Rungus. Bagi baju wanita, baju lengan pendek dipanggil “sukob” manakala yang berlengan panjang disebut “sukob kopio.” Pakaian wanita Lotud ini dihiasi dengan motif yang dipanggil “ukob” dan “tinobugi.” Motif “ukob” yang terdapat pada “sukob kopio” disulam menggunakan benang emas dan manik. Motif “ukob’ merupakan motif yang wajib bagi pakaian wanita dan lelaki Lotud, ini kerana motif ini ada disebut dalam rinait yang menggambarkan pakaian Kinohoringan dan Umunsumundu. Kaum Lotud membuat motif tidak sembarangan, tapi para pembuat motif harus menyulam sesuai dengan petunjuk yang terdapat dalam “rinait (mantera)” yang mereka amalkan.
_______________________

Sumber gambar :

http://www.imgrum.org/media/1344913897550861839_1045978807
http://www.surfinginmap.club/share/fW-jtQsi2n

No comments:

Post a Comment